Latar belakang Kamaruzzaman bin Abdul Kadir

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan hingga tamat Darjah Tujuh (1952). Setelah itu, beliau mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak (1954-1956).

Pada tahun 1960-an, beliau mengikuti latihan di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Di samping bekerja, beliau belajar secara persendirian hingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia dan beberapa tahun kemudian beliau lulus Sijil Tinggi Persekolahan. Pada tahun 1973, beliau melanjutkan pengajiannya di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya hingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (1976). Semasa bertugas di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, beliau melanjutkan pengajiannya pada peringkat sarjana dan berhasil memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (1981).

Beliau juga pernah menjadi guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu selama 20 tahun di beberapa buah sekolah menengah, sebelum bertugas sebagai pensyarah sambilan Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu di Pusat Latihan Daerah (1966-1968) di Negeri Sembilan. Seterusnya bertugas sebagai penyelidik sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur (1971-1973) diikuti sebagai penyunting serta penilai manuskrip dan buku. Di samping itu beliau pernah menjadi penulis skrip dan pantun untuk rancangan Dondang Sayang di TV1 RTM (1971-1973), selain aktif menjelajah ke seluruh tanah air menyampaikan ceramah penulisan kreatif, khususnya dalam genre puisi untuk sekolah mahupun persatuan-persatuan penulis negeri. Dharmawijaya juga pernah bertugas sebagai Pensyarah dan Prof. Madya Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1980-1994) sebelum berpindah ke Fakulti Pengajian Bahasa Moden, UPM. Jawatan terakhirnya ialah sebagai pensyarah tamu di UPM.